Search This Blog

Wednesday, May 4, 2011

PP vs Lim Guan Eng

PENDAKWA RAYA v. LIM GUAN ENG
HIGH COURT [MELAKA]
MOHD NOOR ABDULLAH, J
[PERBICARAAN JENAYAH NO: 45-2-95 & 45-3-95]
28 FEBRUARY 1997

ALASAN PENGHAKIMAN

Dengan keizinan bahawa Pendakwa Raya dan dengan perakuan yang diberi dibawah seksyen 8A(3) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, seksyen 5 Akta Hasutan 1948 dan dibawah seksyen 418A Kanun Prosedur Jenayah LIM GUAN ENG dipertuduh dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi atas dua pertuduhan yang berikut:

Pertuduhan 1

Bahawa kamu pada bulan Januari 1995 di dalam Daerah Melaka Tengah, dalam satu penerbitan risalah yang bertajuk [2] CERAMAH 'KISAH BENAR" dengan niat jahat telah menerbitkan berita tidak benar iaitu:-

MANGSA DIPENJARAKAN'

Oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan boleh dihukum di bawah seksyen 8A(1) Akta yang sama.

Pertuduhan 2

Bahawa kamu pada 19.1.1995 jam lebih kurang 9.40 malam di Dewan Permai Sari, Tingkat Tiga Hotel Emperor, Jalan Munshi Abdullah, di dalam Daerah Melaka Tengah, dalam Negeri Melaka telah memberikan ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata yang menghasut iaitu:-
[3] (a) bahawa kamu menyatakan yang tidak puas hati dengan undang-undang di Malaysia kerana 'double standard' yang menyebabkan kes rogol yang melibatkan Tan Sri Rahim Thamby Chik tidak dihadapkan ke Mahkamah dan Peguam Negara telah menyatakan Tan Sri Rahim Thamby Chik tidak terlibat dalam kes rogol perempuan bawah umur;

(b) bahawa kamu menyatakan yang kamu tidak puas hati Mahkamah memberikan keputusan supaya gadis yang terlibat kes dalam kes rogol itu ditahan selama tiga tahun. Sebenarnya Tan Sri Rahim Thamby Chik patut dimasukkan ke Penjara dan sebaliknya orang yang melanggar undang-undang dibebaskan;

yang mempunyai kecendurangan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan[4] dalam Malaysia dan oleh yang demikian, kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah seksyen 4(a) Akta yang sama.
Pada awal perbicaraan kes ini Mahkamah dikejutkan dengan sikap menemplak peguambela membidas kes tanpa menuggu kehadirannya. Pada pagi itu Mahkamah telah menetapkan pendengaran hujah kedua-dua pertuduhan tentang permohonan permohonan pendakwa untuk menggabungkan perbicaraan kedua-dua pertuduhan itu dibawah seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah. Pada 9.00 pagi Mahkamah menuggu peguambela. Pada 9.08 Mahkamah diberitahu peguambela masih dalam perjalanan dan minta Mahkamah menunggu entah berapa lama. Mahkamah telah meneruskan pendengaran hujah pendakwa dengan kehadiran peguambela pembantu tanpa kehadiran peguambela utama yang hadir pada 9.22 ketika pendakwa sedang berhujah. Apabila pendakwa selesai berhujah Mahkamah membacakan untuk kesenangan peguambela nota keterangan yang dicatatkan semasa ketiadaannya. Ketika itulah peguambela yang dijangka berterima [5] kasih membidas Mahkamah yang penuh sesak dengan orang awam yang kelihatan berpihak apabila diminta menjawab hujah pendakwa beliau tergamak berkata "I shall bot be cowed by this court, Judges also come late". Mahkamah menahan sabar dan mendengar telatahnya serta memberi peluang secukupnya untuk membantah permohonan pendakwa. Di akhir penghujahan mereka Mahkamah membenarkan permohonan pendakwa kerana terdapat proximity of the time and place, continuity of action and unity of purpose or design di antara kedua-dua pertuduhan itu. [Jayaraman v. Public Prosecutor[1979] 2 MLJ 88]. Peguambela membantah pula tentang kecatatan pertuduhan pertama yang tidak menyatakan tarikh, masa dan tempat yang khusus. Pendakwa menjawab sukar menetapkan bila dan di mana sebenarnya Tertuduh menerbitkan risalah itu sama ada semasa Tertuduh menyediakan deraf atau semasa Tertuduh mengarah deraf itu dicetak dan diedarkan. Mahkamah mendapati butiran yang sedia ada memadai untuk menyedarkan Tertuduh kesalahan yang beliau lakukan, bila dan di mana menurut kehendak seksyen 153 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah terkilan dan menukilkan peristiwa keterlaluan peguambela itu sebagai perbandingan dengan sikap tenang, tabah dan hormat Tertuduh kepada [6]Mahkamah apabila Mahkamah mula naik bersidang. Tertuduh juga menghormati Timbalan Pendakwa Raya dengan menjawab soalbalasnya secara tenang dan sabar walaupun kadangkala Tertuduh disindir dan dirangsang kemarahannya. Adalah diperhatikan Tertuduh bangun sendiri tanpa disuruh untuk menerima penghakiman dan hukuman Mahkamah ini sehingga Mahakamah memberi peluang kepadanya untuk berkata-kata atau merayu. Tetapi lain pula telatah peguambelanya.

Fakta Kes

Kes ini tercetus dengan pendedahan media massa khususnya Utusan Malaysia mengenai skandal sex Tan Sri Rahim Thamby, Ketua Menteri Melaka dengan gadis bawah umur. Ketua Siasatan Jenayah Melaka terus membuat laporan polis untuk menjanakan siasatan. Beliau sendiri menyiasat kes itu dan mendapatkan pernyataan dari 40 orang saksi termasuk 2 orang pakar kimia dan forensik perubatan. Tan Sri Rahim menafi melakukan perhubungan sex dengan gadis itu tetapi gadis itu mengaku melakukannya. Gadis itu tidak membuat laporan polis terhadap Tan Sri Rahim tetapi beliau membuat laporan polis terhadap 14 orang lain yang melakukan perhubungan seks dengannya. Mereka di dakwa, 8 orang mengaku salah dan dihukum, yang lain minta dibicarakan.

[7] Pada awal penyaisatan kes ini polis menahan gadis itu di Balai Polis Jalan Travers dan di Bukit Aman dengan kizinan bapanya. Kemudian Majistret memerintahkan gadis itu ditahan selama tiga tahun di Pusat Perlindungan Gadis di Rembau, Negeri Sembilan. Nenek gadis itu tidak bersetujudan mengemukakan permhonan hebeas corpus untuk membebaskan gadis itu. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan nenek itu.

Dalam perkembangan lain Peguam Negara setelah meneliti kertas siasatan polis telah mengumumkan keputusannnya tidak mendakwa Tan Sri Rahim kerana tidak cukup keterangan untuk mendakwanya. Tertuduh kecewa dengan keputusan itu dan mengmukakan usul di Parlimen untuk membahaskan keputusan Peguam Negara itu. Tertuduh berucap panjang lebar dan Menteri berkenaan menjawab dan menjelaskan keputusan dan budibicara Peguam Negara.

Tertuduh masih kecewa dan tidak puashati. Beliau mencadangkan kepada Democratic Action Party Melaka untuk menganjurkan Ceramah Kisah Benar mengenai isu politik semasa yang diadakan di Empror Hotel Melaka pada 19.1.1995. Tertuduh telah[8] menyediakan deraf risalah Ceramah Kisah Benar dan menyerahkannya kepada Setiausaha Penerangan DAP Melaka untuk dicetak dan disiarkan kepada orang ramai. Risalah itu berjudul:
"Ceramah Kisah Benar -

Skandal Tan Sri Rahim,

Mana Keadilan dan Hak Wanita,

Mangsa Dipenjarakan,

Penjenayah Bebas."

Pada 19.1.1995 Tertuduh berucap di ceramah itu. Stanley Liu membuat liputan dan mencatat ucapannya. Tertuduh berucap dengan selama 45 minit dihadapan anggaran 300 orang hadirin kebanyakkan orang Melayu. Tertuduh berkata undang-undang negara ini double standard menyebabkan Peguam Negara memutuskan tidak mendakwa Tan Sri Rahim dan Mahkamah menahan gadis yang tidak bersalah selama 3 tahun dan membebaskan Tan Sri Rahim yang sepatutnya dipenjarakan kerana melanggar undang-undang.

Pertuduhan 1

Mengenai kesalahan menerbitkan berita tidak [9]benar di bawah seksyen 8A(1) Akta 301 pendakwa hendaklah membuktikan tanpa keraguan munasabah sebagaimana diputuskan dalam kes Arulpragasan a/l Sandaraju lwn. Pendakwa Rayayang terpakai ketika itu) setiap intipati pertuduhan itu:
1. berita tidak benar

2. ada diterbitkan;

3. dalam suatu penerbitan, dan

4. Tertuduh adalah penerbit berita tidak benar itu.

Apabila intipati tersebut terbukti maka hendaklah dianggap Tertuduh mempunyai niat jahat untuk menerbitkan berita tidak benar itu sekiranya tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa sebelum penerbitannya Tertuduh telah mengambil langkah yang munasabah untuk menentusahkan kebenaran berita itu. [Seksyen 8A(2) Akta].

Adalah jelas semua penerbitan tidak benar dianggap diterbitkan dengan niat jahat penerbit, maka beban membuktikan sebaliknya terletak kepada penerbit berita tidak benar itu. Seksyen 8A(2) Akta itu semata-mata suatu peruntukan yang [10]membalikkan beban membukti yang timbul jika pihak pendakwa dapat membuktikan bahawa berita yang diterbitkan itu adalah palsu dan Tertuduh merupakan pencetak, penerbit, penyunting atau penulisnya. Oleh itu seksyen 8A(2) yang merupakan satu anggapan statutori yang beroperasi pada peringkat perbicaraan untuk membantu pihak pendakwa dengan menanggap niat jahat apabila kepalsuan berita itu yang diterbitkan itu dibuktikan, tidak boleh disamakan dengan pra-penapisan, yang jika ianya berlaku, hanya boleh berlaku sebelum penerbitan" demikian kata Edgar Joseph Jr SCJ dalam Public Prosecutor v. Pung Chen Choon [1994] 1 MLJ 566.

1. Terbit/Penerbit/Penerbitan

Terbit ertinya siap dicetak dan diedarkan, tersiar. Menerbitkan ertinya mengeluarkan dan mengedarkan (buku, majalah dan lain-lain) - Kamus Dewan Edisi 1970.

Risalah Ceramah Kisah Benar eksibit P11B - ialah suatu kertas yang padanya ada dicetak huruf, angka dan tanda dan ia juga suatu bahan bercetak yang mengandungi representasi yang boleh dilihat atau[11] dengan apa jua cara boleh membayangkan kata-kata atau idea dan kerana itu risalah P11B ialah satu penerbitan sebagaimana perkataan itu ditakrif di bawah seksyen 2 Akta berkenaan. Tertuduh ialah Pengerusi Pemuda DAP Nasional serta Setiausaha DAP Melaka. Tertuduh telah mencadangkan kepada DAP Melaka untuk menganjurkan Ceramah Kisah Benar mengenai isu politik semasa dan untuk tujuan itu Tertuduh telah memberi deraf risalah P11 kepada Yew Kok Kee (SP14), Setiausaha Penerangan DAP Melaka untuk dicetak dan diedarkan. Yew Kok Kee telah menghantar deraf risalah itu kepada Winwah Printing Sdn. Bhd. untuk mencetaknya sebanyak 5,000 keping. Kecuali dua tiga keping untuk simpanan pejabat kesemua risalah itu disiarkan dan diedarkan kepada orang ramai dan sekeping sampai ke tangan Kopral Zakaria bin Budin (SP7) yang berakhir di Mahkamah ini sebagai Eksibit P11B. Maka terbuktilah Tertuduh ialah penerbit risalah itu.

2. Berita tidak benar

Teks yang tersiar dalam PIIB ialah:

"Skendal Tan Sri Rahim Thamby Chik

Mana Keadilan dan Hak Wanita

Mangsa Dipenjarakan Penjenayah Bebas

Penceramah:

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ... ...

Pendek bte. Ahmad (nenek gadis bawah umur)"

Berita tidak benar itu terhad dan khusus kepada berita "Mangsa Dipenjarakan". Perkataan 'penjara' ertinya tempat atau bangunan penjenayah dikurung sebagai hukuman dan 'dipenjara' atau 'dipenjarakan' ertinya penjenayah dikurung dalam penjara sebagai hukuman - Kamus Dewan Edisi Baru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991. Menurut kaedah pentakrifan statut pengertian sesuatu perkataan atau ungkapan hendaklah ditakrif menurut konteknya. Mangsa dipenjarakan bertaut kepada skendal Tan Sri Rahim, mana keadilan dan hak wanita. Mangsa dipenjarakan adalah bersilang dengan penjenayah bebas. Sepatutnya demi keadilan mangsa bebas, penjenayah dipenjarakan bukan sebaliknya. Maka dalam konteks 'Mana Keadilan' ungkapan 'mangsa dipenjarakan' hendaklah bererti mangsa dipenjarakan sebagaimana penjenayah dipenjarakan iaitu dikurung ditempat atau bangunan sebagi hukuman. Mangsa ialah gadis bawah umur yang berkaitan dengan skendal Tan Sri Rahim dan cucu [13]kepada penceramah Pendek bte. Ahmad. Ditahan dalam siasatan atau ditahan dalam reman maupun ditahan di bawah perlindungan bukan dipenjarakan. Menurut ACP Mok Siew Hoong (SP12) yang menyiasat kes skendal sex Tan Sri Rahim, berita mangsa dipenjarakan dalam risalah itu adalah tidak benar, gadis dibawah umur itu tidak dipenjarakan dalam ertikata gadis itu didakwa di Mahkamah, disabitkan kesalahan dan dihukum penjara. Gadis itu ditahan dalam siasatan dan diletak di bawah jagaan polis di Balai Polis Jalan Travers dan kemudian di Bukit Aman. Keluarga melawatnya, bapa memberi keizinan manahannya. Selepas itu Majistret memerintahkan gadis itu di tahan selama 3 tahun di Pusat Perlindungan Gadis dan Wanita di Taman Seri Puteri, Rembau, Negeri Sembilan. Nenek gadis itu tidak bersetuju dan mengemukakan permohonan habeas corpus untuk membatalkan perintah Majistret itu tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan nenek itu. Maka jelaslah gadis itu tidak dipenjarakan. Berita mangsa dipenjarakan adalah berita tidak benar.

3. Niat Jahat

Seksyen 8A(2) Akta Mesin cetak dan Penerbitan [14]1984 memperuntukan -
"(2) Bagi maksud seksyen ini, hendaklah dianggap ada niat jahat sekiranya tidak ada keterangan yang menunjukkan bahawa sebelum penerbitannya. Tertuduh telah mangambil langkah yang munasabah untuk menentusahakan kebenaran berita itu."
Mahkamah mendapati tidak ada sebarang keterangan yang menunjukkan bahawa sebelum penerbitannya, Tertuduh telah mengambil langkah yang munsabah untuk menetusahkan kebenaran berita itu. Tertuduh tidak semestinya mematah anggapan niat jahat itu semasa pembelaan (jika dipanggil), Tertuduh boleh berbuat demikian semasa pembentangan kes pendakwaan.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tidak memperuntukkan penyiaran berita tidak benar ipsofacto adalah satu kesalahan dan boleh dihukum; ia memperuntukkan penyiaran berita tidak benar yang disiarkan dengan niat jahat adalah satu kesalahan. Sama ada berita tidak benar itu disiarkan dengan niat [15] jahat atau tidak bergantung kepada hal keadaan berita itu disiarkan. Tertuduh tahu gadis tidak dikurung dalam penjara kerana gadis itu adalah mangsa sex. Tertuduh tahu gadis itu ditahan polis di Bukit Aman. Tertuduh telah berucap di Parlimen dengan teliti menyatakan "gadis itu ditahan polis pada 30.8.94", "gadis itu dalam kurungan polis", "gadis itu ditahan dalam perlindungan polis" (disiarkan dalam Penyata Rasmi Parlimen - Eksibit P20) dan tidak sekalipun Tertuduh berucap "gadis itu dipenjarakan". Perdana Menteri dan Dato' Syed Hamid Albar menjelaskan gadis itu diberi perlindungan semasa dalam siasatan. Maka siaran berita "mangsa dipenjarakan" dalam risalah P11B ciptaan Tertuduh adalah disiarkan dengan niat jahat untuk menarik perhatian dan mengelirukan orang ramai.

Pertuduhan 2

Mengenai kesalahan menyebut perkataan menghasut dibawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 pendakwa hendaklah membuktikan pula -

1. Tertuduh menyebut perkataan yang dinyatakan dalam butiran (a) dan (b) dalam pertuduhan itu;

[16] 2. Testimoni yang diberi oleh seorang saksi sahaja hendaklah disokong;

3. Perkataan itu menghasut.

Garis panduan bagi memutuskan tentang pendakwaan kes menghasut dijelaskan oleh Raja Azlan Shah J. dalam kes Public Prosecutor v. Ooi Kee Saik & Ors. [1971] 2 MLJ 108 @ 111 seperti berikut:

"In my view that the prosecution have to prove and all that the prosecution have to prove is that the words complained of, or words equivalent in substance to those words, were spoken by accused No.1 at the dinner party. Once that is proved the accused will be conclusively presumed to have intended the natural consequence of his verbal acts and it is therefore sufficient if his words have a tendency to produce any of the consequence stated in section 3(1) of the Act. It is immaterial whether or not the words complained of could have the effect of producing or did in fact [17] produce any of the consequence enumerated in the section. It is also immaterial whether the impugned were true or false. (SeeQueen Empress v. Ambra Prasad). And it is not open to the accused to say that he did not intend his words to bear the meaning which they naturally bear. (See Maniben v. Emperor)."
Wan Suleiman FJ dalam kes Public Prosecutor v. On Keng Seng [1975] 2 MLJ 206 @ 211 pula berkata:
"Again whilst we would with respect agree that the prosecution is not obliged to prove that anything said in this speech was true or false, evidence to show that the allegations made were false whether wilfully or inadvertently so, would increase the likehood that such utterances would have a seditious tendancy."
[18]Adalah diperhatikan Tertuduh dipertuduh menghasut terhadap dua komponen pentadbiran keadilan negara ini iaitu pendakwaan dan kehakiman. Pendakwaan meliputi penyaisatan, penangkapan oleh penguatkuasa undang-undang seperti polis dan arahan serta keputusan Pendakwa Raya. Mahkamah pula adalah tunjak dan tunjang keadilan. Neraca keadilan antara hak dan batil, kebenaran dan kepalsuan berada di Mahkamah dan di sinilah tempat perlindungan dari segala kezaliman dan penindasan. Mahkamah hendaklah tidak dicemar dan tercemar. Kepercayaan rakyat terhadap Mahkamah hendaklah tidak terhakis.

Tertuduh tokoh politik dari parti pembangkang; berpengalaman dan berpengaruh setelah 3 penggal menjadi wakil rakyat sejak 1986. Tertuduh Pengerusi Pemuda DAP Kebangsaan dan Setiausaha DAP Melaka. Berita skandel sex Tan Sri Rahim digeladakkan dalam media massa tetapi apabila asap tebal geladak itu menghilang rupa-rupanya gadis itu ditahan, Tan Sri Rahim tiada diapa-apakan, 8 teruna nakal didakwa, mengaku salah dan dihukum ikat jamin berlaku baik. Jika Tertuduh melihat ada muslihat disebalik penahanan gadis itu, ada pihak bermain sandiwara tentang pendakwaan teruna itu dan keputusan Peguam [19]Negara berbau politik maka Tertuduh berhak dan bertanggungjawab untuk bersuara. Tertuduh bukan busy-body. Tertuduh ahli politik sepenuh masa. Mahkamah mengiktaf kebebasan bersuara dalam permerintahan demokrasi adalah baja yang menyuburkan demokrasi dan ketiadaannya boleh menguburkan domokrasi.

1. Menyebut perkataan (a) dan (b) Pertuduhan

Kopral Stanley Liu (SP2) telah diarah oleh ketuanya untuk membuat liputan khas tentang ucapan Tertuduh di Ceramah Kisah Benar tersebut. Tertuduh berucap selama 45 minit dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Cina dihadapan lebih kurang 300 orang kebanyakkan orang Melayu. Beliau mendengar Tertuduh berucap: Tertuduh tidak puashati dengan undang-undang negara ini kerana double standard. Inilah sebab kes rogol Tan Sri Rahim tidak dibawa di Mahkamah. Peguam Negara telah menyatakan Tan Sri Rahim tidak terlibat dalam kes perempuan bawah umur. Tertuduh juga tidak puas hati Mahkamah memberi keputusan gadis yang terlibat dalam kes rogol ditahan selama 3 tahun sebenarnya Tan Sri Rahim patut dimasukkan ke penjara, sebaliknya orang yang tidak bersalah dimasukkan ke[20] dalam penjara dan orang yang melanggar undang-undang dibebaskan. Stanley Liu mencatatkan semasa itu juga ucapan Tertuduh dalam sehelai kertas dan selepas ceramah itu beliau balik ke pejabat dan menaip ucapan Tertuduh ke dalam kertas lain. Ucapan yang disalin itu dikemukakan di Mahkamah dan ditanda sebagai Eksibit P6 yang menjadi asas pertuduhan 2. Tertuduh mengajukan kepada SP2 bahawa keterangannya tidak benar tetapi tidak mencadangkan apa sebenarnya diucapkan Tertuduh. Yew Kok Kee (SP14) ialah seorang penceramah diceramah itu dan apabila diperiksabalas oleh pguambela beliau menafikan Tertuduh berkata sebagaimana dipertuduh. SP14 mengiakan saja pemeriksaanbalas peguambela sebagaimanan diajukan kepadanya dan apabila Mahkamah bertanya apa yang "ya", Yew Kok Kee menjawab Tan Sri Rahim tidak ditangkap dan direman, sekadar itu sahaja. Mahkamah mendapat nilai keterangan sedemikian sangat lemah. Mahkamah menerima keterangan itu dan hanya bagi maksud mengajukan pembelaan yang hendak dibentangkan sekiranya pembelaan dipanggil nanti.

[21]Stanley Liu ialah saksi penting maka keterangannya ditapis dengan ayak yang halus dan setiap kenyataannya diperiksa dan pengukur penilaian maxima dengan memberi pertimbangan - umpanya alat perakam tidak digunakan, kertas nota catatan dimusnahkan, kemungkinan salah-tanggapan atau silap-faham ucapan Tertuduh, kecurigaan Tertuduh tentang kejujuran saksi ini yang bertugas di Cawangan Khas. Mahkamah menilai dan menerima alasan kenapa alat perakam tidak digunakan dan kertas nota catatan dimusnahkan dan setelah memerhatikan kelakuan saksi ini, cara ia menjawab pemeriksaan pendakwa dan pemeriksaanbalas peguambela khususnya beliau bersetuju dengan cadangan peguambela bahawa Tertuduh menyebut perkataan 'dipenjarakan', 'ditahan' saling berganti dan mengambilkira saksi ini berpangkat rendah sekadar menjalankan tugas maka Mahkamah merumus dan sedia memperakukan bahawa Stanley Liu ialah saksi benar. Mahkamah menerima keterangannya.

Yew Kok Kee diajukan dalam pemeriksaanbalas peguambela: Adakah benar apa yang dikatakan oleh Tertuduh tentang skadel sex ialah bahawa double standard apabila gadis yang terlibat dengan Rahim [22]telah ditahan oleh polis selama 8 hari dan Rahim tidak ditangkap oleh polis atau ditahan bawah reman kerana disyaki terlibat dengan gadis bawah umur.

Jawab saksi: Ya.

Mahkamah bertanya: Apa yang ya.

Jawab saksi: Rahim tidak ditangkap atau direman.

Yew Kok Kee berkata Tertuduh ialah komrad seperjuangan. Beliau memberi keterangan memakai armband sebagai tanda protes parti terhadap keputusan mendakwa Tertuduh di Mahkamah. Mahkamah mendapati saksi ini menunujukkan kecendurangan berat sebelah memihak Tertuduh. Saksi ini tidak menyatakan apa Tertuduh berkata tapi beliau mengiakan apa yang dikatakan Tertuduh berkata. Nilai keterangan sebegini luntur dan lemah. Tambahan pula ceramah itu telah berlalu 2 tahun silam dan jawapan saksi semata-mata dari ingatan yang tidak lagi segar dan cerah. Mahkamah berat hendak menerima keterangan saksi berpihak dan berkepentingan dalam aspek apa sebenarnya Tertuduh berucap pada malam itu.

2. Keterangan menyokong

Menerut seksyen 6(1) Akta 15 tiada seorangpun boleh disabitkan kerana suatu kesalahan di bawah [23]seksyen 4 atas testimoni yang tidak disokong yang diberi oleh seorang saksi. Pendakwa telah mengemukakan sebagai Eksibit P6 nota catatan bertaip Stanley Liu. Di bawah tajuk -

UCAPAN Y.B. LIM GUAN ENG saksi mencatatkan:

"Beliau antara lain menyatakan:

(d) beliau rasa tidak puashati dengan undang-undang Malaysia kerana 'double standard' inilah sebab kes rogol Rahim tidak didakwa dalam Mahkamah dan Peguam Negara telah menyatakan Rahim terlibat dalam kes rogol perempuan bawah umur.

(e) beliau rasa tidak puas hati Mahkamah memberi keputusan supaya gadis yang terlibat dalam kes rogol ini ditahan selama tiga tahun sebenarnya Tan Sri Rahim patut dimasukkan dalam penjara dan sebaliknya orang yang tidak salah masuk dalam penjara dan orang yang melanggar undang-undang yang dibebaskan."

[24]Nota catatan Eksibit P6 dikatakan telah menyokong testimoni Stanley Liu dan boleh mensabitkan kesalah Tertuduh dibawah Seksyen 4. Mahkamah ini berpendapat walaupun nota catatan itu merupakan pernyataan terdahulu yang boleh diterima untuk menyokong testimoni Stanley Liu di bawah seksyen 157 Akta Keterangan dan mendapati nilai keterangan itu berkesan tetapi nota catatan yang dibuat sendiri oleh saksi itu bukan keterangan menyokong yang menguat dan meyakinkan kebenaran keterangan terhadap SP2 sehingga boleh mensabitkan Tertuduh. Testimoni yang tidak disokong yang diberi oleh seorang saksi dalam kontek seksyen 6 bermaksud ketiadaan keterangan menyokong dalam ertikata "evidence in corrobaration must be independent testimony which affect the accused by connecting or tending to connect him with the crime. In other words it must be evidence which implicates him, that is, which confirms in some material particular not the prisoner that the crime has been committed but also that the prisoner commited it" - R v. Baskerville independent testimoni dan bukan pernyataan bertulis saksi itu sendiri: a witness cannot corroborate himself - Rex v. Job Whitehead [1929] 1 KB 102.

[25] Walaupun demikian Mahkamah mendapati keterangan Stanley Liu disokong oleh keterangan Zakaria Budin (SP7). Zakaria berkata Tertuduh menyentuh tentang rasa tidak puashati dangan undang-undang negara ini sebagai double standard dan tindakan Mahkamah yang menahan mangsa dan membebaskan Rahim. Seorang lagi saksi Insp. Lok Yoke Choy (SP13) juga berkata dia dengar Tertuduh kata double standard, Rahim tidak dihadapkan ke Mahkamah gadis terlibat dalam kes rogol ditahan selama 3 tahun. Insp. Loy mengesahkan nota catatan P6 adalah benar diucapkan oleh Tertuduh kerana dia membaca dan menyemak nota catatan itu pada malam itu juga. Keterangan Zakaria tidak dicabar. Keterangan Insp. Lok juga tidak dicabar. Maka testimoni SP2 disokong oleh Zakaria dan Insp. Lok pada perkara yang matan dan kerana itu boleh mensabit kesalahan Tertuduh. Kredibiliti Stanley Liu bertambah mantap apabila Insp. Lok mengesahkan isi nota catatan itu benar.

3. Menghasut

Menghasut ertinya menyebut apa-apa perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut termasuk kecendurangan bagi mendatangkan kebencian dan [26]penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan di negara ini (seksyen 2 dan 3 Akta). Tertuduh berkata undang-undang negara ini double dan sebab itulah Tan Sri Rahim tidak didakwa. Fahaman pendengar terhadap ucapan ialah negara ini tidak adil dan saksama; ada undang-undang untuk orang berpangkat, berkuasa dan berpengaruh seperti Tan Sri Rahim dan ada undang-undang lain untuk orang biasa. Ini tidak benar. Semua orang mempunyai hak yang sama dan diberi hak perlindungan yang sama disisi undang-undang dan ini terjamin dalam Perlembagaan (Perkara 8 Perlembagaan). Peguam Negara berkata beliau tidak mendakwa Tan Sri Rahim kerana tidak cukup keterangan walaupun terdapat syak yang kuat untuk mendakwanya; bukan kerana undang-undang negara double standard. Peguam Negara membuat keputusan setelah mengkaji kertas siasatan polis dan menimbangkan kredibiliti/kebolehanpercayaan gadis itu, latarbelakang dan peribadinya. Peguam Negara adalah pegawai undang-undang tertinggi negara dan kepadanya Perlembagaan memberi kuasa penentu untuk mendakwa atau tidak mendakwa seseorang. (Perkara 145 Perlembagaan). Peguam Negara hendaklah dianggap bertindak jujur, bona fide dan hal keadaan kes Tan[27] Sri Rahim tidak menunjukkan sebaliknya. Ucapan Tertuduh mendatangkan kebencian atau sekurang-kurangnya membangkitkan perasaan tidak suka terhadap pentadbiran keadilan negara ini.

Tertuduh berkata Mahkamah telah menahan gadis itu selam 3 tahun. Ini benar. Tetapi Tertuduh menambah Mahkamah telah menahan gadis yang tidak bersalah dan sebaliknya membebaskan Tan Sri Rahim yang melanggar undang-undang dan yang sepatutnya dimasukkan dalam penjara. Sebenarnya Mahkamah menahan gadis itu selama 3 tahun hanya setelah berpuashati gadis itu memerlukan perlindungan. Terbukti gadis itu sendiri bersetuju dan bapa merestui. Nenek tidak bersetuju dan mencabar perintah Majistret dengan permohonan hebeas corpus tetapi Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan mengesah penahanan tersebut. Ucapan Tertuduh difahami pendengar bahawa Mahkamah menyelamatkan Tan Sri Rahim. Ucapan Tertuduh mendatangkan kebencian terhadap Mahkamah dan pentadbiran keadilan.

[28]Sebelum Tertuduh berucap di Ceramah Kisah Benar Tertuduh berucap selama 45 minit di Parlimen mengenai keputusan Peguam Negara tidak mendakwa Tan Sri Rahim melalui usul bagi membincangkan perkara tertentu, segera demi kepentingan orang ramai. [Peraturan Mesyuarat 18(1)]. Tertuduh mengkhuatiri Peguam Negara membuat massive cover-up ala kes tape lucah D.P. Vijandran, Timbalan Speaker. Tertuduh membidas Peguam Negara kerana membuat keputusan berbau politik untuk menyelamatkan Tan Sri Rahim, mendedahkan keaiban dan peribadi gadis itu dengan 14 orang lain dan menjadikan udang-undang negara ini songsang dengan mengurung gadis itu dan tiada sesiapa membelanya. Malah ada ura-ura hendak mendakwa gadis itu di Mahkamah Syariah. (Penyata Rasmi Parlimen Penggal Ketiga 24-10-1994 - Eksibit P20).

Mahkamah telah meneliti ucapan Tertuduh di Parlimen dan mendapati kritikan dan kutukan terhadap Peguam Negara yang begitu hebat dan teruk adalah masih jauh dari ambang garis pemisah antara kebebasan bersuara dengan sekatan menghasut kerana antara lain, forumnya bersesuaian, pendengarnya sesama orang politik. Cuma kesihan Peguam Negara tidak berpeluang menjawab tuduhan terhadapnya kerana beliau bukan Ahli [29]Dewan walaupun Menteri berkenaan telah menjawab baginya.

Tertuduh telah membawa geramnya kepada rakyat melaui Ceramah Kisah Benar. Tertuduh berucap kepada 300 orang yang kebanyakkannya orang Melayu. Nenek tua gadis itu dinamakan sebagai penceramah dan dia berucap pada malam itu. Tertuduh tidak berucap seperti di Parlimen. Tertuduh menukuk-tambah, mungkin terdorong oleh perasaan, dan terlanjur melintasi sempadan pemisah kebebasan bersuara dan sekatan menghasut. Mahkamah menilai ucapan Tertuduh dalam kontek di atas dan mendapati ucapan Tertuduh adalah menghasut.

Di akhir kes pendakwaan Mahkamah memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan setiap intipati yang perlu bagi kesalahan menerbit berita tidak benar di bawah seksyen 8A(1) dalam pertuduhan pertama bagi kesalahan menghasut di bawah seksyen 4(1)(b) dalam pertuduhan kedua, tanpa memberi apa-apa keraguan munasabah mengikut keputusan majoriti kes Arulpragasan a/l Sandaraju v. Pendakwa Raya terpakai ketika itu dan seterusnya memanggil Tertuduh membuat pembelaan.

[30]Pembelaan-Pertuduhan Pertama

Tertuduh mengaku menyedia dan mengarahkan untuk diterbitkan risalah Eksibit P11 yang mengandungi berita yang diilhamkan dari tajuk berita akhbar The Star bertarikh 9.11.94 karangan Marina Mahathir. Tertuduh menyediakan teks Bahasa Malaysia. Tertuduh menggunakan perkataan "mangsa dipenjarakan" dalam konteks keseluruhan teks itu dan mengikut aliran pemikirannya ketika itu. Tertuduh tidak bermaksud malahan tidak terlintas "dipenjarakan" bererti menjalani hukuman dalam penjara. Apa yang dimaksudkan oleh Tertuduh ialah penahanan tidak sah gadis itu diantara 30.8.94 sehingga 8.9.94 semasa gadis itu ditahan di Balai Polis Jalan Travers dan di Bukit Aman tanpa kebenaran bapanya yang hanya memberi kebenaran pada 8.9.94 berkuatkuasa kebelakangan.

Tertuduh faham perkataan reman, tahan dan penjara adalah saling bertukarganti/interchangable. Maka fahaman Tertuduh tentang erti 'dipenjarakan' berlainan dengan erti yang difahamkan secara munasabah oleh orang yang mendengarnya. Erti sebenar[31] dipenjarakan ialah ditahan dalam penjara bagi menjalani hukuman dan itulah fahaman yang munasabah orang yang mendengarnya.

Tertuduh telah berucap di Parlimen tentang penahanan gadis itu di Bukit Aman tetapi tidak sepatah pun Tertuduh berkata gadis itu dipenjarakan. Tertuduh ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya: Jika gadis itu dipenjarakan selama 10 hari, adakah gadis itu ditahan atau dipenjarakan selepas itu. Tertuduh menjawab gadis itu dipenjarakan. Mahkamah tidak dapat menerima hakikat itu kerana Perdana Menteri telah memberitahu Tertuduh "gadis itu akan ditamatkan perlindungannya oleh pihak polis apabila siasatan telah selesai dan keselamatannya terjamin". Dato' Syed Hamid Albar dalam ucapan balasnya di Parlimen memberitahu "gadis itu perlu dilindungi semasa dalam siasatan polis". Tertuduh tahu gadis itu diberi perlindungan dan Tertuduh tahu gadis itu ditahan dengan perintah Majistret kerana Tertuduh telah membantu nenek gadis itu mendapatkan khidmat peguam bagi mencabar perintah Majistret. Hakim Mahkamah Tinggi telah mengesahkan kesahihan penahanan itu dan adalah tidak munasabah Tertuduh masih berdegil mengatakan gadis itu dipenjarakan.

[32] Tertuduh berucap di Ceramah Kisah Benar gadis itu ditahan atau dipenjarakan selama 3 tahun; Tertuduh tidak pernah berucap gadis itu ditahan selam 10 hari. Adalah tidak munsabah Tertuduh mencanangkan isu gadis itu ditahan atau dipenjara selama 10 hari yang bukan berita sensasi dan tidak padan atau cukup lama untuk dihebohkan kepada orang ramai.

Seterusnya Tertuduh mencari helah untuk melepaskan diri dari pertuduhan ini dengan mengadakan cerita kononya gadis itu memberitahu neneknya yang dia (gadis itu) dipenjarakan dan nenek itu menyampai kepada Tertuduh cucunya mengadu dia dipenjarakan di Bukit Aman.

Gadis itu dalam keterangannya berkata dia ditahan dalam satu bilik yang selesa dan bebas bergerak di persekitaran kawasan itu. Dia dibantu menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah dan dibantu mendapatkan pakaiannya di kampung. Dia tidak komplain. Maka tiada sebab dia mengadu kepada nenek yang dia dipenjarakan. Cerita ini tidak munasabah. Nenek itu terang-terang menjadi saksi burong tiong. Dia berkata dalam Mahkamah cucunya [33]dipenjarakan tanpa disoal mengenainya dan apabila peguambela memandu saksi dengan mengaju soalan:

"Adakah kamu beritahu Y.B. Lim cucu kamu dipenjarakan," Pendakwa membantah dan Mahkamah tidak membenarkan soalan itu, nenek itu tiba-tiba pengsan dan rebah. Mahkamah menangguhkan perbicaraan. Bila Mahkamah bersidang semula Peguambela masih hendakkan jawapan dari nenek dan bertanya -

Soalan : Apa beritahu Lim ?

Jawapan : Saya tak cakap apa-apa.

Mahkamah ulangi soalan.

Jawapan : Saya tak cakap apa-apa.

Soalan : Selepas itu bila ada cakap apa-apa pada Y.B.?

Jawapan : Saya tak jumpa dia lagi

Soalan diulangi.

Jawapan : Saya tak cakap apa-apa lagilah.

Soalan : Langsung tak cakap apa-apa.

Jawapan : Tidak.

Lihatlah betapa terdesak dan sejauh mana peguambela sanggup mempertaruhkan maruah keadilan dengan menyoal sedemikian rupa dan terus menyoalnya sehingga nenek itu terlepas kata bahawa cakap cucunya tidak benar dan terus melentok dan pengsan kali yang[34]kedua. 21/2 bulan kemudian peguambela masih bertanya lagi soalan seperti ini.

Soalan : Ada Y.B. kata apa-apa?

Jawapan : Saya beritahu Y.B. cucu saya kata dia dipenjarakan Bukit Aman.";

Dan apabila diperiksabalas oleh Pendakwa Raya Mahkamah kasihan melihat nenek itu pengsan kali yang ketiga. Nenek itu sudah tua, dia tidak pandai bercakap bohong dan apabila tertekan itulah reaksinya.

Nampaknya nenek itu terhutang budi kepada Tertuduh kerana dengan pertolongan Tertuduh dia dapat berjumpa cucunya. Tertuduh menolong mendapatkan khidmat peguam. Nenek itu cuba menolong Tertuduh dengan berkata dia ada beritahu Tertuduh cucunya mengadu dia dipenjarakan. Tetapi Mahkamah mendapati gadis itu tiada asas mengadu sedemikian dan cara nenek itu memberi keterangan nampak sangat dia diasuh dan bercakap bergitu. Keterangan nenek itu tidak dapat diterima, tidak munasabah dan jelas direka. Pembelaan Tertuduh tentang pertuduhan pertama tidak munasabah dan tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

[35] Pembelaan - Pertuduhan kedua

Tertuduh menafikan berucap sebagaiman dinyatakan dalam pertuduhan kedua. Sebenarnya Tertuduh berucap menyatakan tidak puashati terhadap tindakan polis dan keputusan Peguam Negara. Polis tdak menahan atau reman Tan Sri Rahim sepertimana biasa dilakukan dalam kes rogol. Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa 14 orang lain atas pertuduhan merogol gadis itu tetapi terhadap Tan Sri Rahim Peguam Negara memutuskan tidak cukup keterangan untuk mendakwanya. Maka Tertuduh berkata tindakan polis dan keputusan Peguam Negara memberi gambaran undang-undang negara ini double standard. Perbezaan ucapan Tertuduh sebagaimana diucapkan sebenarnya dan sebagaimana didengar dan difahamkan oleh saksi-saksi pendakwa adalah tipis. Tertuduh membidas perlaksanaan undang-undang negara ini double standard dan bukan undang-undangn itu double standard. Mahkamah telah menimbangkan kemungkinan saksi-saksi pendakwa terkeliru. Mahkamah juga telah menimbangkan kemungkinan Tertuduh sendiri cuba mengeliru Mahkamah. Setelah menimbangkan faktor seperti pita rakaman tidak digunakan bagi menentukan sah benar ucapan Tertuduh, pangkat dan pelajaran saksi-saksi pendakwa, keseluruhan ucapan[36] Tertuduh di Parlimen yang mengutuk dengan tajam dan keras tindakan polis dan keputusan Peguam Negara, kemungkinan Tertuduh sebagai Ahli Parlimen berpelajaran tinggi dan berpengalaman mengutuk undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen sebagai double standard, Mahkamah memutuskan Tertuduh mungkin berucap sebagaimana dikatakannya dan ucapan sedemikian pada pendapat Mahkamah tidak menghasut. Keputusan Peguam Negara menurut budibicaranya untuk mendakwa atau tidak mendakwa Tan Sri Rahim boleh dipersoalkan, dikritik atau dibahaskan. Tetapi ada batasnya. Kritikan itu hendaklah berpada, berasas, berpatutan dan tidak mencaci hamun, mala fide atau berniat jahat terhadapnya atau keputusannya. Kes skandel sex Tan Sri Rahim menarik perhatian orang ramai dan Tertuduh seperti partinya sudah tentu mengambil kesempatan mengutuk kerajaan dan mencara laba politik. Dalam konteks pertarungan pengaruh politik keghairahan Tertuduh bersuara tentang penahanan gadis itu yang menghasilkan laporan polis dibuat terhadap 17 orang lain tetapi tiada laporan polis dibuat terhadap Tan Sri Rahim, pendakwaan 8 orang yang hanya diikat jamin berkelakuan baik, pernyataan Peguam Negara bahkan ada syak yang kuat Tan Sri Rahim melakukan kesalahan itu serta [37] keengganan Peguam Negara menafikan Tan Sri Rahim melakukan hubungan sex dengan gadis, tindakan Tertuduh memberitahu orang ramai rasa tidak puas hati dan marah sekalipun terhadap polis dan Peguam Negara, adalah berpatutan dan munsabah dalam ruanglingkup kebebasan bersuara dan meluahkan perasaan. Ucapan Tertuduh kerana rasa tidak puashati terhadap tindakan polis dan Peguam Negara yang seolah-olah undang-undang negara ini double standard adalah buka menghasut terhadap pentadbiran keadilan.

Mengenai butiran (b) dalam Pertududan 2,

Tertuduh memberi keterangan dalam pemeriksaan awal "saya tidak bercakap sebagaimana dinyatakan dalam (b)" dan dalam pemeriksaanbalas Tertuduh menjawab "saya ada menyebut Mahkamah perintah gadis itu ditahan selama 3 tahun. Saya kata itu sebagai satu fakta tanpa komen apa-apa.". Menurut saksi pendakwa Tertuduh menambahkan ucapan itu dengan berkata Mahkamah menahan gadis yang tidak bersalah selama 3 tahun tetapi Tan Sri Rahim yang melanggar undang-udang tidak dipenjarakan tetapi dibebaskan. Mahkamah mendapati Tertuduh berucap sebagaimana difahami oleh SP2 dan dicatatkan dalam P6 dan disokong oleh SP7 dan SP13. Adalah tidak munsabah Tertuduh hanya berkata [38] gadis itu ditahan selam 3 tahun sebagai suatu fakta benar tanpa apa-apa komen. Ia tidak konsisten dengan tajuk Ceramah Kisah Benar. Mahkamah telah meniliti nota catatan Stanley Liu dalam Eksibit P6 dan menimbangkan benar atau mungkin tak benar Tertuduh berucap sedemikian dan setelah mengambil kira keseluruhan fakta kes ini seperti ucapan Tertuduh di Parlimen, catatan spontan saksi ini yang disokong oleh saksi-saksi lain, adalah didapati Tertuduh tidak mugkin bercakap Mahkamah menahan gadis itu selama 3 tahun tanpa komen.

Diakhir kes pembelaan Mahkamah mendapati Tertuduh gagal menimbul keraguan yang munsabah terhadap kes pendakwaan terhadap pertuduhan 1 dan juga terhadap pertuduhan 2 mengenai butiran yang dinyatakan dalam (b) pertuduhan itu dan kerana itu Mahkamah mendapati Tertuduh bersalah dan mensabitkan kesalahan ke atas kedua-dua pertuduhan itu.

3. Hukuman

Hukuman bagi kesalahan 1 ialah penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya dan bagi kesalahan 2 ialah denda [39] tidak melebihi RM5,000, atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan yang kemudian penjara tidak melebihi 5 tahun.

Undang-undang menetapkan hukuman maxima bagi setiap kesalahan dan menyerahkan kepada Mahkamah untuk menentukan hukuman yang adil. Hukuman maxima adalah begi perlakuan kesalahan yang terlalu ganas atau dasyat dan Mahkamah bolehlah mengurangkan tahap hukuman itu menurut tahap perlakuan pesalah. Dalam kes itu pesalah ialah ahli politik sepenuh masa dari parti pembangkang yang berpengalaman, berpengaruh dan menurut mata yang memandang berjasa juga kepada Negara. Pada usia 36 tahun beliau telah menempah kedudukan politik yang terjamin dan masa depan yang cerah dalam kerjayanya. Pesalah melakukan kesalah ini selaras dengan perjuangan falsafah politiknya termasuk membela gadis itu dari terhina dan teraniaya dan mendesak supaya Tan Sri Rahim dihadapkan ke Mahkamah dan bukan dilindungi dan diselindungi. Pesalah berkata dia tidak berniat jahat menghasut terhadap Mahkamah. Ini kesalahan pertama dan walaupun pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pesalah [40]pesalah telah menaruh dendam terhadap sesiapa. Pesalah terlanjur membidas Mahkamah dan pentadbiran keadilan akibat keghairannya mengutuk polis dan Peguam Negara. Hasutannya tidak mengakibatkan tunjuk perasaan atau apa jua bentuk bantahan terhadap Mahkamah dan pentadbiran keadilan.

Institusi Kehakiman hendaklah dipelihara dan terpelihara. Jangan sekali-kali intergerity kehakiman disangkan oleh mana-mana pihak. Hilang kepercayaan terhadap kehakiman buruk padahnya kepada negara. Jika Mahkamah dan Peguam Negara sepakat alamat negara akan huru-hara. Maka segala fitnah terhadap Mahkamah dan pentadbiran keadilan apatah lagi menghasut hendaklah dibasmi diperingkat semaian dan hukuman ringan tidak menjurus ke arah itu. Hanya hukuman penjara layak bagi pesalah yang menghasut terhadap Mahkamah dan pentadbiran keadilan.

Setelah Mahkamah menimbangkan perkara di atas dan keseluruhan kes ini Mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara terhadap pesalah, memadai pesalah dihukum denda RM10,000 atau 6 bulan penjara bagi kesalahan 1 dan RM5,000 atau 3 bulan penjara bagi kesalahan 2. Mahkamah mengambilkira dengan hukuman[41] itu pesalah hilang kelayakan untuk terus menjadi Ahli Parlimen. Urusan itu adalah urusan pihak lain. Mahkamah itu menghukum pesalah kerana kesalahannya dan inilah asas pertimbangan hukuman, faktor lain adalah fator sampingan. Mahkamah tidak mencari jalan keluar dengan mengenakan hukuman kurang dari RM2,000 semata-mata untuk mengelakkan pesalah dari hilang kelayakkan menjadi Ahli Parlimen dan Mahkamah juga tidak dengan sengaja untuk mengenakan hukuman denda RM2,000 semata-mata untuk menghilang kelayakannya. Pada pendapat Mahkamah ini hukuman penjara tidak kurang dari satu atau denda tidak kurang RM2,000 dalam Perkara 48 Perlembagaan hendaklah tidak menjadi pengukur apatah lagi menjadi penghalang bagi Mahkamah mengenakan hukuman yang difikirkan patut dan sesuai bagi kesalahan di atas. Hukuman bagi sesuatu kesalahan adalah penentuan dan hilang kelayakkan di bawah Perkara 48 Perlembagaan adalah kesan akibatnya.

DATO' MOHD NOOR B. HJ. ABDULLAH

HAKIM

MAHKAMAH TINGGI MALAYA

SEREMBAN


No comments: