Search This Blog

Wednesday, May 4, 2011

Jangan Sesekali Percaya Orang Asing

RAZALI HAMZAH lwn. PP
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, MUAR
AHMADI ASNAWI PK
[RAYUAN JENAYAH NO: 42-10-2004]
20 FEBRUARI 2010

PENGHAKIMAN

Ahmadi Asnawi PK:

[1] Perayu telah dituduh merogol seorang perempuan Melayu, SP1, (selepas ini disebut sebagai 'mangsa') yang ketika itu berumur 24 tahun di dalam ladang kelapa sawit, Batu 13, Jalan Bakri, Air Hitam, Muar, pada 21 Ogos 1998; suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah s. 376 Kanun Keseksaan. Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, Muar dan telah dihukum selama 16 tahun penjara dari tarikh jatuh hukuman (15 Mac 2004) di samping dikenakan sepuluh kali sebatan dengan rotan.

[2] Rayuan ini adalah ke atas kedua-dua sabitan dan hukuman berkenaan.

Fakta Kes Secara Ringkas

[3] Mangsa menyatakan beliau sedang menunggu bas dihadapan Sekolah Menengah Tun Dr Ismail, Bakri, Muar untuk kembali ke rumahnya di Yong Peng setelah menolong datuk saudaranya berniaga di kantin sekolah tersebut pada 21 Ogos 1998 kira-kira jam 11.30 pagi. Semasa menunggu tersebut, sebuah kereta jenis Toyota Corolla dengan nombor pendaftaran BBC 7714 yang dipandu oleh perayu telah berhenti dihadapannya lalu mempelawa mangsa naik keretanya balik ke Yong Peng.

[4] Setelah berkali-kali dipelawa, mangsa akhirnya bersetuju lalu menaiki kereta tersebut. Tambahan pula beliau telah dipesan oleh ibunya supaya balik awal dan hari itu adalah hari Jumaat dan bas jarang lalu.

[5] Dalam perjalanan ke Yong Peng, kereta tersebut telah masuk ke satu lorong ladang kelapa sawit. Perayu memberi alasan hendak berjumpa kawannya di ladang ayam dalam ladang sawit tersebut untuk memberikannya sekeping cek. Setelah sampai ke satu kawasan ladang ayam yang ditinggalkan, perayu telah pusingkan kereta lalu kembali ke jalan besar, menuju kembali ke arah Yong Peng.

[6] Sepuluh minit kemudian perayu telah sekali lagi membelok ke kanan dan masuk ke satu lorong lain dalam ladang kelapa sawit atas alasan yang sama. Mangsa telah mula mengesyaki perayu. Sesampai disatu longgokan tanah merah ditengah-tengah lorong tersebut, perayu telah memberhentikan keretanya. Mangsa cuba keluar daripada kereta tersebut. Walaubagaimana pun perayu telah terlebih dahulu menarik tudungnya dan mencekup mukanya dengan tangannya hingga cermin mata yang dipakainya patah. Perayu juga telah menumbuk mangsa beberapa kali bila berlaku pergelutan diantara mereka.

[7] Perayu kemudian keluar daripada kereta dan menuju ke pintu kereta dimana mangsa berada. Melihatkan demikian mangsa cuba beralih ke bahagian belakang kereta tetapi perayu masih mengasaknya dan berjaya membuka zip seluar jeansnya dan menindihnya. Perayu sudah pun membuka bajunya dan kemudiannya berjaya menanggalkan T-shirt dan coli yang dipakai oleh mangsa. Ketika itu SP1 mendapati dirinya terbaring dilantai di bahagian belakang kereta. Perayu cuba menarik mangsa keluar tetapi gagal.

[8] Akhirnya mangsa berjaya keluar daripada kereta dan cuba melarikan dirinya dengan hanya memakai seluar jeans. Kira-kira 15 kaki dari belakang kereta, perayu berjaya menangkapnya dan dia terjatuh. Disitulah dia dapat melihat nombor pendaftaran kereta tersebut. Perayu kemudian menarik dan berjaya menanggalkan seluar jeans yang dipakai oleh mangsa. Mangsa yang hanya tinggal berpakaian seluar dalam berjaya bangun dan lari sekali lagi namun berjaya ditangkap semula oleh perayu. Beliau telah diheret ke bawah satu pokok kelapa sawit, ditelentangkan, seluar dalamnya ditanggalkan dan terus dirogol. Mangsa tidak berupaya untuk melawan lagi.

Alasan-Alasan Rayuan

[9] Perayu telah mengunjurkan 29 butiran petisyen rayuan. Namun dalam hujahan telah menyimpulkan kepada isu-isu berikut sahaja.

Kelayakan SP6 Untuk Membuat Pemeriksaan Ke Atas Mangsa

[10] Peguambela yang bijaksana menghujah mangsa (SP1) hanya dirujukkan kepada pegawai perubatan (SP6) yang hanya mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun, pada waktu menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa. Sepatutnya mangsa dirujuk kepada pakar ginikologi untuk memperolehi dapatan yang mantap. Dengan itu mangsa telah diperiksa oleh seorang yang tidak layak dan dapatan SP6 tidak mempunyai kredibiliti untuk membantu mahkamah memutuskan samada telah berlaku rogol seperti didakwa oleh mangsa. Seterusnya laporan perubatan yang disediakan oleh SP-6 juga tidak menyokong dakwaan wujudnya rogol.

[11] Setelah meneliti keterangan-keterangan yang diberikan oleh SP6, saya berpendapat hujahan di atas adalah hujahan yang amat songsang sekali. Tidak ada keperluan disisi undang-undang bahawa seorang mangsa rogol hendaklah dirujukkan dan diperiksa oleh seorang pakar ginikologi. Hujah bahawa seorang doktor yang bukan pakar tidak layak untuk memeriksa mangsa rogol dan keterangan mereka adalah meragui dan tidak boleh diterima adalah satu hujah yang tidak mempunyai asas disisi undang-undang. Lebih-lebih lagi keterangan doktor berkaitan dengan dapatannya dalam kes yang seperti ini bukanlah keterangan (evidence) substantive. Nilai keterangan seorang doktor dalam kes-kes rogol hanyalah bersifat corroborative. Keterangan substantive berkaitan dengan kejadian rogol itu datang dari mangsa sendiri. Keterangan mangsa rogol bahawa dia telah dirogol boleh diterima oleh mahkamah tanpa bantuan daripada keterangan doktor, jika mahkamah mendapati mangsa bercakap benar dan keterangan mangsa adalah "credible" dan boleh diterima masuk sebagai keterangan dengan bantuan keterangan-keterangan sokongan lain.

[12] Dalam kes ini SP6 telah berkhidmat sebagai pegawai perubatan selama tiga tahun. Beliau berkelulusan daripada University Manipal, India, salah satu universiti perubatan yang diiktiraf sebagai universiti perubatan yang unggul di dunia. SD1, seorang pakar perubatan yang dipanggil oleh pembelaan juga mengakui bahawa SP6 adalah seorang doktor yang berkelayakan penuh dan layak untuk membuat pemeriksaan ke atas mangsa. Jadi apa masalahnya dengan keterangan SP6? Saya mendapati tiada cacat celanya keterangan dan dapatan yang diberikan oleh SP6. Hakim Sesyen yang bijaksana telah menerima keterangan SP6. Atas keseluruhan keterangan yang ada, saya mendapati Hakim Sesyen tidak khilaf bila beliau menerima keterangan SP6 dan mendapati keterangan SP6 telah menyokong "in material particulars" keterangan mangsa bahawa beliau (mangsa) telah dirogol.

Laporan Perubatan Exh. P8 Yang Disediakan Oleh SP6

[13] SP2 adalah pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan awalan dan fizikal ke atas mangsa. Beliau memeriksa mangsa kira-kira lima jam selepas kejadian rogol. Ketika membuat pemeriksaan, beliau mendapati mangsa dalam keadaan nervous, mengigil dan menangis. Seterusnya beliau mendapati kotoran tanah pada pakaian mangsa; rambut mangsa kusut masai; tekanan darahnya 130/80 yang menunjukkan mangsa dalam keadaan tertekan; bahagian atas gigi kacip patah; kotoran tanah pada bahagian tubuh; dan calar balar pada bahagian tubuh mangsa dan kaki mangsa.

[14] Dapatan pemeriksaan luaran mangsa oleh SP2 ini tidak dicabar oleh pembelaan.

[15] Selepas membuat pemeriksaan ini SP2 telah merujuk mangsa kepada SP6 dari Bahagian Sakit Puan, Hospital Muar. Ini menurutnya adalah prosedur jabatannya. Beliau juga telah memanjangkan laporan perubatannya dalam bentuk tulisan tangannya kepada SP6.

[16] SP6 mengesahkan segala penemuan luaran/fizikal yang didapati oleh SP2. Dalam pemeriksaan vagina beliau mendapati wujudnya abrasi pada posterior fourchette dan juga koyakkan selaput dara yang baru pada posisi jam 5 dan jam 7. PW6 kemudiannya telah menurunkan dapatannya dalam laporan perubatan exh. P8.

[17] Laporan perubatan ini tidak seharusnya dijadikan bahan pertikaian seperti yang cuba diunjurkan oleh pembelaan. Walau pun pada awalnya SP2 telah memeriksa mangsa dan kemudiannya merujukkan mangsa kepada SP6 bersama-sama dengan laporan awalan dalam bentuk tulisan tangannya sendiri, namun SP6 telah mengulangi pemeriksaan yang telah dilakukan oleh SP2 dan mengesahkan kesemua dapatan SP2. SP6 kemudian telah menyediakan laporan perubatannya seperti exh. P8. Maka dalam keadaan seperti ini untuk segala maksud dan tujuan, exh. P8 adalah disediakan oleh SP6. Maka pengemukaan exh. P8 sebagai exhibit yang disediakan oleh SP6 adalah teratur.

[18] Atas keterangan kedua-dua pegawai perubatan ini, Hakim Sesyen yang bijaksana telah mendapati "corroboration" yang mencukupi bagi menyokong keterangan mangsa bahawa wujud penetrasi ke dalam vagina mangsa iaitu perayu telah memasukkan zakarnya ke dalam vagina mangsa tanpa kerelaan mangsa. Kerelaan mangsa tidak menjadi isu dalam kes ini. Malah keterangan mangsa bahawa beliau tidak pernah merelai perbuatan perayu ke atasnya tidak pernah dicabar oleh perayu.

[19] Atas segala keterangan yang ada termasuk naratif mangsa bagaimana perbuatan rogol itu berlaku saya bersependapat dengan dapatan hakim yang bijaksana bahawa wujud corroboration yang mencukupi untuk menyokong keterangan mangsa. Hakim tersebut tidak khilaf dalam dapatannya dan saya mendapati tiada ruang untuk campur tangan dalam dapatan tersebut.

[20] Fakta bahawa mangsa didapati nervous, mengigil dan menangis ketika diperiksa oleh SP2/SP6 adalah konsisten dengan trauma fizikal, mental serta saikologi yang baru dilalui oleh mangsa. Begitu juga fakta bahawa pakaian dan badan mangsa dikotori dengan tanah adalah konsisten dengan keterangan mangsa bahawa beliau telah bergelut dengan perayu di atas tanah sebelum dan semasa kejadian rogol berlaku. Calar balar pada kaki dan bahagian belakang mangsa adalah juga konsisten dengan keterangan mangsa bahawa sebelum dan semasa dirogol beliau ada melawan dan telah diheret dan ditelentangkan atas tanah dalam keadaan telanjang bulat. Calar balar tersebut juga konsisten dengan keterangan bahawa beliau jatuh atas tanah tanpa berbaju dan bercoli ketika ditangkap oleh perayu selepas berjaya keluar daripada kereta dan ketika seluarnya ditarik untuk ditanggalkan, beliau terlentang di atas tanah. SP6 mengesahkan calar balar dibahagian kaki dan belakang tubuh mangsa besar kemungkinan berpunca dari pergelutan di atas permukaan yang kasar. Kotoran tanah pada tubuh mangsa mengesahkan lagi pergelutan atas tanah tersebut dalam keadaan mangsa bertelanjang bulat.

[21] Abrasi pada posterior fourchette dan koyakkan baru pada selaput dara mengesahkan lagi keterangan mangsa bahawa terdapat kemasukkan zakar perayu ke dalam vagina mangsa. Sememangnya SP6 tidak dapat menyatakan dengan pasti apa yang menyebabkan koyakan kepada selaput dara tersebut. Jawapan beliau adalah satu jawapan yang standard yang lumrah diberikan oleh pegawai-pegawai perubatan meskipun pegawai tersebut adalah pakar dalam bidang tersebut, iaitu koyakkan tersebut adalah konsisten dengan penile penetration, ia juga konsisten dengan finger penetration atau pun penetration oleh blunt cylindrical objects yang lain. Seperti pegawai-pegawai perubatan yang lain SP6 hanya boleh memberikan opinionnya sahaja, kerana beliau tidak nampak apa yang menyebabkan koyakkan tersebut.

[22] Namun punca koyakkan ini hendaklah disiasat dengan mengambilkira keseluruhan keadaan kes, khususnya ia tidak dapat dipisahkan dengan keterangan substantive iaitu keterangan mangsa sendiri. Sehubungan dengannya mangsa menyatakan selepas seluar dalamnya ditanggalkan oleh perayu dalam keadaan dirinya terlentang di atas tanah, kedua-dua kakinya telah dilipatkan dan kemudian ditindih oleh perayu. Beliau cuba menepis zakar perayu ketika perayu cuba memasukkan zakarnya ke dalam vaginanya namun gagal. Kemudian mangsa cuba menutup vaginanya dengan kedua-dua belah tangan tetapi gagal juga setelah ditumbuk oleh perayu. Beliau nampak zakar perayu masuk ke dalam vaginanya. Menurutnya perbuatan rogolitu berlangsung kira-kira lima minit dan perayu melepaskannya hanya selepas ejakulasi di luar vaginanya.

[23] Selepas melihat dan mendengar sendiri mangsa memberi keterangan, Hakim Sesyen yang bijaksana mendapati mangsa adalah seorang yang bercakap benar, memberi keterangan yang konsisten, mempunyai daya intelek yang tinggi serta keterangannya adalah keterangan yang "credible". Beliau telah menerima keterangan mangsa dan mendapati punca koyakan pada selaput dara mangsa adalah berpunca daripada kemasukkan zakar perayu ke dalam vagina mangsa. Ini adalah satu dapatan fakta yang dibuat oleh Hakim Sesyen yang bijaksana setelah melihat dan mendengar sendiri mangsa memberi keterangan. Atas keseluruhan keterangan yang dikemukakan, saya tidak ada asas untuk tidak bersependapat dengan dapatan fakta tersebut dan tidak ada justifikasi kukuh untuk mengubah dapatan fakta tersebut.

[24] Atas premis yang sama saya juga bersependapat bahawa abrasi pada posterior fourchette mangsa adalah berpunca dari "attempts at penetration" seperti diterangkan oleh SP6. Tidak ada asas langsung untuk menyatakan abrasi tersebut adalah berpunca dari kesan garu oleh mangsa sendiri. Abrasi tersebut adalah "proximate in time" dengan koyakkan pada selaput dara mangsa. Maka adalah selamat untuk membuat inferensi bahawa ia adalah berpunca dari insiden yang sama.

Hujahan Peguambela Bijaksana Bahawa Exh. P8 Tidak Menyokong Kejadian Rogol

[25] Atas keterangan yang nyata ini peguambela yang bijaksana berhujah bahawa laporan perubatan, exh. P8 dan keterangan SP6 tidak menyokong kejadian rogol tersebut. Beliau menghujah atas asas bahawa abrasi pada posterior fourchette tidak menunjukkan adanya rogol. Ia hanya menimbulkan syak. Ia boleh berlaku akibat digaru. Arah abrasi juga tidak dicatit. Seterusnya beliau menghujah tiada kecederaan pada vagina mangsa berasaskan kepada keterangan SP6 bahawa vulva, mons pubic, non labia majora, labia minora adalah normal. Peguambela juga menghujah SP6 tidak menyatakan arah koyakan selaput dara dan samada koyakan adalah 'on top' atau 'on the tip' selaput dara dan kepanjangan koyakan tidak diukur. Saya tidak nampak apa relevannya isu-isu ini. Apa yang diperolehi dengan mantap dan relevan adalah selaput dara mangsa didapati koyak pada posisi jam 5 dan jam 7. Kecederaan ini adalah mencukupi untuk menunjukkan adanya kemasukkan/penetrasi ke dalam vagina mangsa. Ketiadaan kecederaan pada vulva, mons pubic, labia majora, labia minora adalah sesuatu yang normal kerana apa yang dituju dan dikerjakan adalah lubang vagina. Koyakan pada selaput dara adalah manifestasinya.

[26] Peguambela juga menghujah bahawa koyakan pada selaput dara adalah keterangan neutral kerana SP6 sendiri bersetuju koyakan tersebut boleh juga berpunca dari kemasukkan jari atau objek-objek tumpul yang lain dan tidak semesti akibat dari kemasukan zakar lelaki. Namun seperti apa yang telah saya nyatakan terdahulu, koyakan selaput dara ini perlu disiasat selari dengan keterangan substantive seperti mana diberikan oleh mangsa (SP1). Mangsa menyatakan beliau nampak zakar perayu masuk ke dalam vaginanya. Keterangan ini diterima oleh Hakim Sesyen yang bijaksana yang melihat dan mendengar sendiri keterangan mangsa. Maka tidak ada pertikaian disini bahawa koyakan selaput dara mangsa adalah disebabkan oleh kemasukan zakar perayu ke dalam vagina mangsa.

[27] Peguambela yang bijaksana juga mempertikaikan 'gait' mangsa yang didapati normal oleh SP6. Tapi apakah yang diharapkan/jangka (expect) oleh peguambela? Adakah peguambela mengharapkan mangsa berjalan dengan terkangkang-kangkang, tertempang-tempang atau merangkak-rangkak akibat insiden rogol tersebut? Hujahan ini adalah "absurd" dan tidak memerlukan pertimbangan memandangkan wujudnya keterangan corroborative lain yang kukuh yang menyokong keterangan mangsa bahawa beliau telah dirogol oleh perayu.

[28] Dengan itu saya menolak hujahan peguambela yang bijaksana berkaitan isu-isu yang diketengahkan ini. Atas segala keterangan yang ada ianya tidak menjadi isu langsung.

Corroboration Dari Saksi-saksi Lain (SP4, SP7 Dan SP8)

[29] Dalam memutuskan wujudnya corroboration yang mencukupi bagi menyokong keterangan mangsa Hakim Sesyen yang bijaksana juga bergantung kepada keterangan-keterangan saksi-saksi lain khususnya SP4, SP7 dan pegawai penyiasat kes, SP8.

SP4

[30] Menurut mangsa, ketika perayu hendak meninggalkan tempat kejadian selepas merogolnya, mangsa yang dalam keadaan telanjang bulat telah merayu kepada perayu supaya meninggalkan pakaian-pakaiannya yang dilucutkan di dalam kereta dan di luar kereta. Permintaan ini telah dipatuhi oleh perayu melainkan seluar dalam mangsa. Seluar dalam mangsa tidak ditemui oleh pegawai penyiasat. Mangsa telah mengenakan pakaiannya semula setelah perayu meninggalkan tempat tersebut. Mangsa kemudian telah berjalan kaki hingga ke jalan besar. SP4 yang ketika itu sedang memandu motosikal dijalan besar tersebut telah berhenti didepan mangsa selepas mangsa melambai-lambai dan meminta tolong membawanya ke balai polis. SP7 yang menaiki motokar bersama suaminya juga berhenti setelah dilambai oleh SP4/mangsa. Kedua-dua SP4 dan SP7 bersama suaminya telah menolong mangsa dengan membawa mangsa ke Balai Polis Bukit Naning dimana mangsa kemudian telah membuat satu laporan polis - exh. P2.

[31] SP4 menyatakan dia tidak kenal mangsa. Beliau mendapati mangsa dalam keadaan berlumpur; baju dan seluarnya berlumpur; hidungnya berdarah; gigi depan sumpek; mangsa menangis ketika minta tolong bawa jumpa polis. Bila ditanyakan kenapa, mangsa telah memberitahu SP4 bahawa dia telah kena rogol. Mangsa juga ada memberitahu nombor kereta perogol tersebut tetapi SP4 tidak lagi ingat nombor kereta tersebut pada hari perbicaraan.

SP7

[32] SP7 pula menyatakan ketika suaminya memberhentikan keretanya beliau nampak mangsa bersama SP4. Bila ditanya apa yang terjadi, SP4 telah memberitahunya bahawa mangsa telah dirogol. Beliau melihat mangsa dalam keadaan menangis; rambutnya kusut masai; bibirnya berdarah dan bercakap dalam keadaan mengigil; dan pakaian mangsa dalam keadaan kotor.

[33] Saya berpendapat apa yang dilihat oleh SP4 dan SP7 merupakan keterangan corroboration yang paling kukuh yang menyokong keterangan mangsa tentang apa yang berlaku sekitar kejadian rogol tersebut. Apa yang kedua-dua saksi tersebut lihat adalah trauma mental dan fizikal yang dilalui oleh mangsa akibat dari kejadian rogol tersebut. Perihal mangsa menangis dan mengigil menunjukkan mental state mangsa selepas dirogol dan apa yang dilihat adalah konsisten dengan mental trauma yang dilalui oleh mangsa. Keadaan baju/seluar mangsa yang berlumpur, hidung berdarah, bibir berdarah, gigi sumpek dan rambut kusut masai adalah konsisten dengan keterangan mangsa bahawa dia bergelut dengan perayu di dalam kereta dan diluar kereta atas tanah serta ditumbuk berkali-kali oleh perayu. Keadaan fizikal mangsa ketika ditemui oleh kedua-dua saksi tersebut memusnahkan andaian mangsa telah mereka-reka cerita kononnya beliau telah dirogol oleh perayu. Hakim Sesyen yang bijaksana tidak khilaf bila beliau mendapati apa yang dilihat oleh SP4 dan SP7 adalah keterangan corroboration yang mengukuhkan keterangan mangsa bahawa beliau telah dirogol oleh perayu.

[34] Selanjutnya mangsa telah memaklumkan kepada SP4 bahawa beliau telah dirogol oleh seseorang dengan memberikan nombor pendaftaran kenderaan perogol itu sekali "at the first available opportunity". Adalah trite bahawa perkara ini juga merupakan satu corroborative evidence yang amat bernilai - sila lihat PP v. Mardai [1949] 1 LNS 65.

SP8

[35] Keterangan pegawai penyiasat, SP8, mengesahkan lagi apa yang dilihat oleh SP4 dan SP7. SP8 melihat mangsa sejurus selepas mangsa membuat laporan polis.

[36] Menurut SP8 pada hari tersebut beliau bertugas di IPD Muar. Pada kira-kira jam 1.30 petang beliau telah dihubungi oleh SM Teo, Ketua Polis Balai Bakri, Muar berkenaan laporan yang dibuat oleh mangsa. Beliau telah mengarahkan supaya mangsa dibawa ke Balai Polis Muar untuk siasatan lanjut. Beliau telah menemui mangsa di Balai Polis Muar dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumpur, tidak terurus; rambutnya kusut masai; dalam keadaan terkejut, ketakutan dan menangis; terdapat kesan-kesan calar dan luka dikaki; mangsa juga memberi nombor pendaftaran kenderaan yang dipandu oleh perogol, iaitu BBC 7714 dan juga jenis kenderaan tersebut.

[37] Seperti keterangan SP4 dan SP7 keterangan SP8 berkenaan dengan keadaan fizikal dan mental mangsa ketika melihat mangsa adalah juga keterangan corroborative yang amat kukuh bentuknya untuk menyokong keterangan mangsa tentang kejadian rogol tersebut.

[38] Dengan dipandu oleh mangsa SP8, telah ke tempat kejadian disatu lorong di dalam ladang kelapa sawit, Batu 12, Muar. Beliau mendapati tempat kejadian jaraknya kira-kira 100 meter dari jalan besar. Mangsa telah menunjukkan tempat di mana perbuatan rogol itu berlaku iaitu dibawah pokok kelapa sawit kira-kira 70 meter dari tempat asal perayu memberhentikan kenderaannya. Di bawah pokok kelapa sawit itu, beliau mendapati terdapat kesan pergelutan dimana rumput-rumput dan tanah-tanah berselerakkan. Di tempat dimana perayu memberhentikan kenderaannya juga terdapat longgokan tanah merah seperti dinyatakan oleh mangsa. Ditepi longgokan tanah merah itu SP8 juga menemui pecahan bingkai cermin mata sebelah kanan (exh. P1) seperti dikatakan oleh mangsa. Penemuan-penemuan ini oleh pegawai penyiasat pada pendapat saya juga merupakan corroborative evidence yang menyokong keterangan mangsa tentang kejadian rogol tersebut.

[39] Mangsa juga menyatakan dalam kereta yang dipandu oleh perayu tersebut terdapat tasbih yang digantung pada tangkai cermin pandang belakang kereta dan terdapat pelekat 'Persatuan Ketua Kampung Melaka' dilekatkan pada cermin hadapan kiri kereta. Perayu telah ditangkap pada 27 Ogos 1998 (kira-kira 1 minggu selepas kejadian) bersama dengan kereta dengan nombor pendaftaran BBC 7714 (exh. P18). SP8 telah memeriksa kereta dan beliau mendapati memang ada tasbih dan pelekat seperti dinyatakan oleh mangsa dalam kereta ini. Gambar-gambar tasbih dan pelekat ini adalah seperti gambar-gambar dalam exh. P6(g) dan P6(f). Lagi sekali penemuan ini merupakan keterangan corroborative yang kukuh yang menyokong keterangan mangsa bahawa perayu telah menggunakan kereta tersebut pada masa yang material berkenaan.

Ketiadaan Kecederaan Di Muka Dan Anggota Badan Bahagian Hadapan Mangsa

[40] Peguambela yang bijaksana berhujah bahawa SP6 tidak menyatakan mangsa mengalami luka dimuka dan bahagian-bahagian hadapan badan lain walaupun mangsa telah ditumbuk berkali-kali dibahagian-bahagian badan tersebut. Juga tiada kesan-kesan calar di muka walaupun muka mangsa telah ditumbuk oleh perayu hingga cermin mata yang dipakai patah. Ini menunjukkan mangsa tidak bercakap benar.

[41] Namun SP4 menyatakan beliau nampak hidung mangsa berdarah dan SP7 juga menyatakan beliau nampak bibir mangsa luka dan berdarah. Kedua-dua saksi ini nampak mangsa sejurus selepas kejadian rogol itu berlaku berbanding dengan SP6 yang melihat mangsa kira-kira lima jam selepas kejadian. Keterangan SP4 dan SP7 berkaitan dengan luka dimuka mangsa tidak dicabar oleh pembelaan. Dengan itu keterangan ini kekal.

[42] SP8 telah menemui pecahan cermin mata yang patah (exh. P1) ditempat kejadian. Ini merupakan fakta kuat yang menunjukkan mangsa memberi keterangan yang benar. Mangsa tidak menyatakan cerminnya patah akibat ditumbuk di muka oleh perayu tetapi cermin mata itu patah akibat mukanya ditekan oleh perayu bersama dengan tudung yang dipakai. Perihal tiadanya kesan tumbukan dibahagian hadapan badan mangsa adalah sesuatu yang relatif. Ianya bergantung kepada berapa kuat tumbukan dan dibahagian mana tumbukan itu dilepaskan. Dalam situasi yang amat mencemaskan mangsa tidak dapat memberikan kepastian dibahagian mana tumbukan-tumbukan itu telah ditujukan. Faktor ini tidak sekali-kali menunjukkan bahawa mangsa tidak bercakap benar kerana wujud banyak keterangan-keterangan sokongan lain yang menyokong keterangan mangsa bahawa beliau telah dirogol oleh perayu seperti dihuraikan diperenggan-perenggan di atas.

Baju Dan Coli Mangsa Tidak Koyak

[43] Sekali lagi peguambela yang bijaksana menghujah baju dan coli tidak koyak walaupun ditanggalkan oleh perayu dengan paksa menunjukkan mangsa tidak bercakap benar. Sehubungan dengannya saya bersetuju dengan hujah TPR yang bijaksana bahawa peguambela menyimpan pandangan bahawa kalau tumbuk mesti cedera, kalau baju ditarik mesti koyak. Hujahan peguambela adalah hujahan yang simplistik. Hujahan itu tidak mengambilkira berapa lama baju ditarik, kekuatan baju ditarik, jenis kekenyalan fabrik, darjah resistance mangsa, kedudukan mangsa ketika baju ditanggalkan dan perkara-perkara relatif yang lain. Mangsa menyatakan coli dan baju tidak koyak kerana ditarik/tanggalkan melalui lehernya. Semasa baju ditarik untuk ditanggalkan colinya ikut tertarik dan sama tertanggal. Penjelasan ini adalah munasabah. Walau apapun tiada hukum fizik yang menyatakan kalau baju ditarik baju itu semestinya akan koyak. Kebarangkalian (probability) untuk koyak adalah tinggi tapi pada hakikatnya baju/coli itu tidak koyak. Hakikat ini wajar diterima tanpa perlu menimbangkan secara berlebihan akan unsur-unsur kebarangkaliannya.

Gigi Patah

[44] Mangsa menyatakan beliau perasan gigi depannya patah ketika membasuh muka di balai polis. Namun beliau juga tidak perasan bila masanya giginya itu patah. Peguambela yang bijaksana menghujah bahawa SP6 tidak menyatakan mulut mangsa tidak bengkak sungguhpun gigi depannya patah. SP6 juga tidak tahu bila gigi tersebut patah. Mangsa juga tidak dihantar kepada pakar gigi untuk menentukan bila gigi itu patah. Maka peguambela merumuskan wujud keraguan yang serious samada gigi itu patah sebelum kejadian rogol atau akibat kejadian rogol.

[45] Lagi sekali peguambela yang bijaksana mengunjurkan kalau gigi patah mulut mesti bengkak. Adakah itu norma yang terpakai? Saya fikir tidak. Semestinya ada kecualian dan keadaan dimana seseorang itu tidak semestinya mengalami mulut bengkak jika gigi patah. Walau apa pun SP7 melihat bibir mangsa berdarah. Keterangan ini tidak dicabar. Ini menunjukkan adanya kaitan antara gigi patah dengan mulut berdarah. Keterangan mangsa bahawa giginya patah akibat kejadian rogol tersebut juga tidak dicabar.

[46] Walau apapun gigi patah bukanlah ingredient kesalahan rogol yang perlu dibuktikan oleh pendakwaan. Ingredient asas adalah kemasukkan zakar perayu ke dalam vagina mangsa. Maka tidak perlulah mangsa dirujuk kepada pakar gigi untuk mengesahkan bila giginya patah. Keterangan berkaitan gigi patah hanyalah keterangan corroborative sahaja.

Percanggahan Laporan P8 Dimana Mangsa Menyatakan Beliau Telah Dirogol 2 Kali - Satu Kali Dalam Kereta Dan Kali Kedua Di Atas Tanah Di Ladang Kelapa Sawit

[47] Peguambela yang bijaksana menghujah mangsa, dalam keterangannya di mahkamah tidak pernah menyatakan bahawa beliau telah dirogol sebanyak dua kali. Maka ini adalah bercanggah dengan apa yang beliau lapurkan kepada SP6 seperti yang tercatit dalam laporan perubatan - exh. P8 di atas. Percanggahan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

[48] Saya telah meneliti keseluruhan keterangan mangsa dan mendapati bahawa isu ini tidak pernah dibentangkan kepada mangsa semasa mangsa disoalbalas oleh pembelaan. Begitu juga dengan SP6. Dengan itu mangsa tidak berpeluang untuk mengklarifikasikan percanggahan ini serta menyatakan berapa kali sebenarnya beliau telah dirogol. Namun begitu keterangan beliau di mahkamah amat mantap dan tegas bahawa beliau dirogol satu kali sahaja oleh perayu di atas tanah dibawah pokok kelapa sawit. Keterangan mangsa ini diperkuatkan oleh laporan polisnya sendiri (exh. P2) yang dibuat sebelum beliau diperiksa oleh SP6. Laporan polisnya (di ms 529, Vol. 3, RR) juga merujuk bahawa beliau dirogol hanya satu kali sahaja. Menurut laporan polisnya, apa yang berlaku dalam kereta ialah "... Lelaki itu kemudian berhentikan keretanya dan cuba merogol saya dalam kereta ..." Keterangan mangsa di mahkamah adalah konsisten dengan kenyataan ini bila mangsa menyatakan perayu telah berjaya menanggalkan baju dan coli yang dipakai dan kemudiannya berjaya membuka zip seluar jeansnya lalu menindih mangsa. Perbuatan ini adalah perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai percubaan untuk merogol. Dalam hal keadaan keseluruhan kes ini, saya berpendapat kredibiliti mangsa tidak langsung terjejas oleh percanggahan seperti yang dihujahkan oleh peguambela yang bijaksana. Lebih-lebih lagi bila keterangan SP6 bukan keterangan substantive.

Tempoh Masa

[49] Peguambela yang bijaksana seterusnya menghujah bahawa mangsa menyatakan insiden rogol ini berlangsung kira-kira 1 jam. Duration yang lama ini menunjukkan mangsa telah merelai perbuatan perayu. Maka tiada rogol kerana mangsa rela. Walaubagaimana pun saya berpendapat hujahan ini amat mengelirukan atau peguambela sendiri keliru. Apa yang dikatakan oleh mangsa ialah keseluruhan insiden ini berlangsung lebih kurang satu jam tetapi duration rogol itu sendiri (kemasukan zakar perayu ke dalam vagina mangsa) hanya berlangsung kira-kira lima minit. Maka tidak timbul isu mangsa memberikan kerelaannya. Lebih-lebih lagi bila pihak pembelaan tidak pernah mencadangkan kepada mangsa bahawa mangsa rela dengan persetubuhan tersebut. Perayu sendiri memilih untuk berdiam diri ketika dipanggil untuk membela diri. Dengan itu beliau tidak memberikan versinya sendiri akan kejadian tersebut.

Ketiadaan Spermatozoa Dalam Vagina Mangsa

[50] Dalam perbicaraan pertama kali dahulu sebelum Mahkamah Tinggi memerintahkan perbicaraan semula (retrial) kes ini peguambela yang bijaksana menghujah mangsa menyatakan bahawa perayu telah memancutkan air maninya dalam vaginanya tetapi dalam perbicaraan sekarang mangsa menyatakan perayu telah memancutkan air maninya di luar vaginanya. Menurut peguambela, percanggahan ini adalah ketara sekali yang menjejaskan kredibiliti mangsa.

[51] Dalam penjelasannya mangsa menyatakan ketika memberi keterangan dalam perbicaraan yang pertama dahulu, beliau belum berkahwin dan beliau tidak faham serta keliru tentang apa yang dimaksudkan di dalam/diluar vagina. Dalam perbicaraan kali kedua ini beliau sudah berkahwin dan faham sepenuhnya maksud di dalam/di luar vagina dan bertegas bahawa ejakulasi itu berlaku diluar vagina. Saya mendapati penjelasan ini adalah penjelasan yang munasabah. Tiada apa-apa yang inherently improbable dalam penjelasan ini.

[52] Peguambela yang bijaksana seterusnya menghujah laporan perubatan exh. P8 dengan jelas menunjukkan bahawa intravaginal swab telah diambil tetapi tiada keterangan yang menunjukkan wujudnya spermatozoa. Ini dengan sendiri menimbulkan keraguan samada perbuatan rogol itu berlaku atau tidak.

[53] Walaubagaimana pun saya berpendapat ini adalah sesuatu yang memang dijangka kerana mangsa menyatakan ejakulasi itu berlaku diluar vagina/kemaluannya dan selepas perayu beredar dari tempat kejadian beliau telah membasuh air mani diluar vaginanya itu dan juga yang meleket di kaki disatu lopak air di tempat kejadian. Dalam keadaan sebegini memang kesan air mani tidak akan wujud di dalam vagina mangsa. Maka tidak ada asas untuk membuat adverse findings berkaitan dengan ketiadaan air mani dalam vagina mangsa.

[54] Kehadiran air mani dalam vagina mangsa bukanlah "ingredient of the offence" yang perlu dibuktikan. Ingredient asas adalah identiti perogol dan kemasukan zakar pemohon ke dalam vagina mangsa. Kemasukan zakar yang sedikit (slightest) pun sudah mencukupi untuk constitute kesalahan rogol. Kesalahan adalah sempurna tanpa ejakulasi air mani. Kehadiran air mani hanya mempunyai nilai corroborative. Sekiranya ada ia akan memperkukuhkan kes pendakwaan. Sekiranya tiada kes pendakwaan tidak runtuh kerana pendakwaan selain dari bergantung kepada keterangan substantive dari mangsa, masih boleh bergantung kepada keterangan-keterangan corroborative yang lain.

Keterangan Saksi Pakar Pembelaan, SD1

[55] SD1 datang ke mahkamah dan dengan nyaringnya menyatakan pemeriksaan yang dilaksanakan oleh SP2 dan SP6 semua tidak betul dan dia seoranglah yang betul dan rogol tidak berlaku berpandukan kepada exh. P8. Pada masa yang sama dia mengaku tidak melihat/memeriksa mangsa dan tidak tahu keadaan mangsa semasa mangsa mula-mula diperiksa oleh SP2/SP6. Dia juga tidak tahu tentang keterangan yang diberikan oleh SP4, SP7 dan SP8 yang menyokong keterangan mangsa. Nyata sekali keterangan SD1 adalah keterangan teori sahaja, tidak berasas dengan kenyataan semasa. Inilah masalahnya jika memberi keterangan hanya berpandu kepada cold print of exh. P8.

[56] SD1 juga mengakui, SP6 adalah seorang doktor yang berkelayakan dari sebuah universiti perubatan yang unggul. Beliau juga mengakui SP6 sememangnya layak untuk membuat pemeriksaan ke atas mangsa.

[57] Saya telah meneliti keseluruhan keterangan SP6 dan laporan perubatannya, exh. P8 secara cermat dan saya mendapati tiada cacat celanya. Beliau bukannya merawat dan tidak merawat mangsa kerana mangsa mengalami penyakit yang tenat, kronik atau serious, yang memerlukan kepakaran sakit puan yang khusus lagi mendalam. Beliau hanya diminta oleh pegawai penyiasat untuk memeriksa mangsa bagi menyiasat samada keterangan mangsa bahawa mangsa telah dirogol mempunyai asas serta boleh dipertahankan dari aspek klinikal. Ini saya kira adalah kerja yang mudah dan saya tidak nampak kenapa SP6 dikatakan tidak layak untuk membuat kerja mudah ini dan dapatan-dapatannya dikatakan tidak betul.

[58] Hasil daripada pemeriksaannya SP6 mendapati abrasi baru pada posterior fourchette dan koyakan baru pada selaput dara mangsa dan koyakan ini boleh berpunca dari kemasukan zakar atau jari atau objek-objek tumpul yang lain. SP6 tidak pernah menyatakan mangsa telah dirogol. Bukan tugas SP6 untuk menyatakan serta mendapati mangsa telah dirogol. Demikian juga bukan tugas SD1 untuk menyatakan mangsa telah dirogol atau tidak dirogol. Tugas untuk mendapati samada mangsa telah dirogol atau tidak dirogol, dipikul sepenuhnya oleh mahkamah. Mahkamah dalam menjalankan tugasannya akan berteraskan kepada segala keterangan yang dihimpunkan dihadapannya. Dengan itu tidak ada asas yang kukuh untuk mengenepikan dapatan SP6 hasil dari pemeriksaannya ke atas mangsa kerana beliau hanya menyatakan apa yang beliau dapati atas jasad fizikal mangsa.

[59] Sehubungan dengan keterangan SD1, Hakim Sesyen yang bijaksana telah menyatakan di ms. 245 RR:

Mahkamah berpendapat keterangan DW-1 adalah hanya pandangannya hanya tertumpu kepada report P-8 sahaja. Beliau tidak melihat mangsa dan berpeluang memeriksa mangsa. Beliau sendiri tidak menafikan bahawa dari laporan P-8 memang jelas ada koyakan baru dalam kemaluan mangsa dan bermaksud ia disebabkan oleh kemasukkan sesuatu. Pendapat yang diberikan mungkin boleh dipertikaikan kerana beliau tidak ada pengetahuan keterangan sokongan lain dari saksi berkaitan yang mana keterangan mereka menjuruskan kesimpulan bahawa tertuduh terlibat.

[60] Saya bersetuju sungguh dengan pendapat ini dan atas segala keterangan yang ada Hakim Sesyen tidak khilaf bila beliau menolak keterangan SD1.

Ketiadaan Ujian Potensi (Potency Test)

[61] Peguambela yang bijaksana menghujah bahawa ketiadaan ujian ini atas perayu telah mewujudkan lompang dimana pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa perayu berkeupayaan untuk melakukan perbuatan rogol tersebut. Namun saya mendapati isu ini adalah trite dimana pendakwaan tidak dikehendaki untuk membuktikan potency atau impotency perayu untuk melakukan perbuatan rogol tersebut - sila lihat PP v. Dato' Seri Anwar Ibrahim & Anor [2001] 3 CLJ 313; Amran Ahmad lwn. PP [2006] 2 CLJ 897; Kesavan Sanderan v. PP [1999] 1 CLJ 343. Sekiranya perayu mempunyai masalah dengan zakarnya dan masalah zakarnya itu menjadi intipati pembelaannnya, maka bebanannya adalah di atas perayu sendiri untuk membuktikan masalah yang wujud dengan zakarnya itu dan masalah itu sebenarnya telah negate dakwaan-dakwaan mangsa.

Keterangan SD2

[62] SD2 adalah ayah perayu. Beliau adalah pemilik kereta BBC 7714 dimana kereta tersebut telah didaftarkan di atas namanya. Maka peguambela yang bijaksana menghujah oleh kerana kereta ini milik SD2 dan sentiasa dalam milikan SD2, semestinya ia mengundang persoalan siapa identiti perogol yang menggunakan kereta tersebut pada hari kejadian.

[63] Namun identiti perogol iaitu perayu tidak pernah menjadi isu dengan mangsa. Keterangan mangsa bahawa perayulah yang memandu/membawa kereta tersebut pada hari dan waktu kejadian tidak dicabar oleh pembelaan. Demikian juga keterangan mangsa bahawa perayulah yang telah merogol beliau juga tidak tercabar dan keterangannya "intact" hingga akhir kes. Perayu telah ditangkap oleh polis satu minggu selepas kejadian berpandukan kepada maklumat nombor pendaftaran kereta tersebut yang dibekalkan oleh mangsa kepada polis. Pada hari perayu ditangkap kereta berkenaan nyata ada dalam milikan perayu. Nexusnya amat jelas iaitu perayulah yang membawa kereta berkenaan pada hari kejadian.

[64] Selanjutnya nampaknya SD2 mempunyai memori yang berpilih-pilih. Beliau memilih untuk mengingati siapa yang membawa keretanya dan pergerakan kereta pada 27 Ogos 1998, iaitu pada hari perayu ditangkap tetapi memilih untuk tidak mengingati siapa yang membawa keretanya pada 21 Ogos 1998 iaitu pada hari kejadian rogol tersebut. Jelas SD2 mengambil jalan yang paling mudah untuk membantu perayu.

[65] Walau bagaimanapun keterangan SD2 ini telah ditangani dengan betul oleh Hakim Sesyen yang bijaksana setelah beliau melihat dan mendengar sendiri SD2 seperti diluahk an di ms 246 RR. Beliau tidak khilaf dalam dapatannya dan tidak ada asas bagi saya untuk menganggu dapatan ini.

Percanggahan Keterangan SP4 Dan SP7

[66] Peguambela yang bijaksana menghujah mangsa dalam keterangannya menyatakan bahawa beliaulah yang menahan kereta yang ditumpang oleh SP7 manakala SP4 pula menyatakan beliaulah yang telah menahan kereta berkenaan. Maka wujud percanggahan yang material dalam keterangan-keterangan tersebut. Saya berpendapat ini adalah satu isu remeh yang dibesar-besarkan dan isu ini tidak membawa kesan kepada kes pendakwaan. Apa yang material ialah kedua-dua SP4 dan SP7 telah berhenti membantu mangsa dan melihat keadaan fizikal dan mental mangsa sejurus selepas mangsa dirogol.

[67] Demikian juga perihal mangsa tidak "at the first opportunity" memberitahu SP4 bahawa beliau telah dirogol tetapi SP4 lah yang dahulu bertanya apa yang berlaku, tidak mengubah apa-apa fakta bahawa mangsa telah memberitahu SP4 bahawa beliau telah dirogol pada kesempatan yang pertama. Tidak kiralah siapa yang tanya dulu atau siapa yang beritahu dahulu.

Keterangan Pegawai Penyiasat SP8

[68] Peguambela yang bijaksana juga telah membangkitkan kecacatan dalam keterangan SP8 bila SP8 tidak menyatakan wujudnya kesan tayar di tempat kejadian, ada atau tidak tanah dalam kereta berkenaan; kerosakan pada dash-board kereta; tiada rambut perayu dalam kereta, pecahan cermin mata di luar kereta; dan ketiadaan lopak air dalam rajah kasar. Saya berpendapat perkara-perkara ini tidak mencacatkan kes pendakwaan memandangkan penemuan-penemuan lain yang diperolehi oleh SP8 yang lebih releven seperti dihuraikan dalam perenggan-perenggan yang terdahulu. Apa yang amat penting ialah mangsa telah mengecam nombor pendaftaran kereta berkenaan dan satu minggu kemudian perayu telah ditangkap hasil daripada maklumat tersebut. Selepas perayu ditangkap mangsa terus mengecam perayu sebagai orang yang merogolnya.

Laporan Kimia, Exh. P19

[69] Baju T, coli dan seluar jeans yang dipakai oleh mangsa dihari kejadian telah dihantar kepada Jabatan Kimia oleh pendakwaan. Laporan kimia adalah seperti exh. P19. Peguambela yang bijaksana telah menarik perhatian mahkamah bahawa laporan tersebut mengesahkan bahawa tidak ada kesan darah ataupun air mani pada ketiga-tiga pakaian tersebut. Ini memungkinkan kejadian rogol itu tidak pernah berlaku.

[70] Walaubagaimana pun mangsa menyatakan ketika dirogol beliau ditelanjangkan sepenuhnya oleh perayu dan ejakulasi berlaku diluar kemaluannya. Beliau kemudiannya membasuh kesan air mani yang melekat pada badannya. Dalam keadaan sebegini ketiadaan kesan air mani pada pakaian-pakaian mangsa adalah sesuatu yang dijangkakan dan munasabah sekali.

[71] Berhubung dengan kesan darah pula, saksi SP4 dan SP7 nampak darah dibibir dan dihidung mangsa. Ini menunjukkan adanya "violence" dikenakan oleh perayu ke atas mangsa seperti dihuraikan diperenggan-perenggan di atas. Mangsa tidak disembelih atau dilukakan dengan senjata tajam atau mengalami kecederaan yang serious hingga menyebabkan pendarahan yang teruk. Maka ketiadaan kesan darah pada pakaian-pakaian mangsa adalah sesuatu yang munasabah.

[72] Pada pandangan saya laporan kimia berkenaan tidak langsung menjejaskan kredibiliti mangsa mahupun menjejaskan kes pendakwaan kerana wujudnya keterangan-keterangan corroborative lain yang cukup kukuh.

Kawad Cam

[73] Peguambela yang bijaksana mengadu umur peserta kawad cam tidak sama dengan umur pengadu yang ketika itu berumur 31 tahun, pegawai yang mengendalikan kawad cam (SP5) tidak merekodkan ketinggian dan ciri-ciri fizikal peserta-peserta serta tidak mengambil langkah supaya mangsa tidak melihat perayu sebelum kawad cam dijalankan.

[74] Namun keterangan oleh SP5 menunjukkan bahawa semua 10 peserta kawad cam adalah berbangsa Melayu yang mempunyai warna kulit yang sama dan mempunyai ketinggian yang sama. Biliknya ditingkat satu dan sebelum kawad cam, mangsa ada dibilik khas disebelah biliknya. Sebelum kawad cam perayu berada di bilik lokap yang berada di tingkat bawah. Sesi kawad cam diadakan di Kelab Pegawai Rendah, yang terletak dalam bangunan lain. Mangsa tidak nampak perayu semasa dibawa ke bangunan tersebut kerana perayu dibawa melalui jalan lain. Secara purata kebanyakan umur peserta seimbang dengan umur perayu.

[75] Adalah tidak munasabah untuk mencari para peserta yang sama umur, sama tinggi, sama wajah, sama warna kulit dan mempunyai ciri-ciri fizikal yang sama dengan perayu. Isu-isu bahawa mangsa dapat melihat perayu semasa perayu dibawa ke bilik kawad cam; tangan perayu tidak digari semasa dibawa ke bilik kawad cam; SP5 tidak menerangkan prosidur kawad cam kepada perayu; perayu memohon untuk tukar posisi selepas pengecaman pertama oleh mangsa tetapi tidak dibenarkan oleh SP5; perayu tidak dibenarkan tukar pakaian dan perayu telah membangkitkan bantahan tentang proses kawad cam tersebut yang kesemuanya dinafikan oleh PW5 hanyalah put question sahaja. Ia tidak menjadi sebahagian daripada keterangan substantive melainkan perayu memilih untuk memberi keterangan berkenaan dengan isu-isu yang sama-sama dan apa yang dikatakan oleh perayu itu didapati benar dan diterima oleh mahkamah.

[76] Saya berpendapat bahawa SP5 telah berusaha untuk mengendalikan sesi kawad cam itu dengan adil dan pengecaman perayu oleh mangsa dalam kawad cam tersebut adalah teratur. Keseluruhan insiden tersebut dari mula mangsa masuk kereta perayu hinggalah perayu meninggalkan mangsa di ladang sawit tersebut berlangsung kira-kira satu jam. Ia berlaku disiang hari bermula dari kira-kira jam 11.30 pagi. Maka cuaca adalah cukup terang dan baik. Mangsa telah berbual-bual dengan perayu sepanjang perjalanan. Mangsa telah melihat wajah perayu. Juga berlaku pergelutan di dalam dan di luar kereta dan perayu berada di atas mangsa semasa kejadian rogol berlangsung. Selanjutnya kawad cam tersebut dijalankan hanya 10 hari selepas kejadian. Menurut SP5, mangsa telah mengecam perayu tanpa ragu-ragu. Bila mangsa mengecam perayu, beliau berasa marah dan terus menunjukkan kepada perayu. Dalam keadaan sedemikian saya bersetuju bahawa pengecaman dalam kes ini telah melepasi keperluan-keperluan dalamTurnbull's Rule.

[77] Jikalau pun pengecaman dalam kawad cam itu telah dikendalikan dengan cara yang tidak adil kepada perayu, namun masih ada 'dock identification' dimana mangsa telah juga mengecam perayu dengan positif sebagai orang yang telah merogolnya. Adalah trite bahawa dock identification adalah sama material dan releven dengan pengecaman dalam kawad cam. Mahkamah Rayuan dalam kes Ong Poh Cheng v. PP [1998] 4 CLJ 1, telah memutuskan di keputusan No. 2(a) di ms. 2:

It did hot follow, as a matter of course, that just because the learned judge rejected the identification at the identification parade, he must of necessity also reject the dock identification of the appellant. The facts showed that the identification thereof was rejected not because there was no identification of the appellant as the robber but because there was defect in the conduct of the parade. That being so, his rejection of the evidence at the identification parade was in no way fatal to the dock identification of the appellant as the robber.

[78] Sila juga lihat Arumugam Muthusamy v. PP [1998] 3 CLJ 597. Dalam keseluruhan keadaan kes ini saya berpendapat identiti perayu dan pengecaman perayu oleh mangsa sebagai orang yang telah merogol beliau tidak menjadi isu langsung. Pengecaman perayu oleh mangsa adalah pengecaman yang mantap yang tidak menimbulkan keraguan langsung.

Hukuman

[79] Perayu telah dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun dan dikenakan 10 kali sebatan dengan rotan. Di ms 247, Hakim Sesyen yang bijaksana telah menghuraikan faktor-faktor yang diambilkira dalam menjatuhkan hukuman tersebut. Saya berpendapat beliau telah mengambilkira segala faktor yang patut diambilkira ketika menjatuhkan hukuman tersebut. Pihak pembelaan telah gagal untuk menunjukkan dimana Hakim Sesyen berkenaan telah khilaf dalam menjatuhkan hukuman berkenaan. Dengan itu saya menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang telah dijatuhkan tersebut.


1 comment:

al kerrango said...

moga penjahat mendpt pemblsn sewajarnya di dunia dan akhirat.